SELAMAT DATANG KE PEN-DORA

Hi saya Dora.
Minat dalam bidang penulisan dari kecil lagi dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa -Kewartawanan dari UiTM Shah Alam. Suka melahirkan perasaan gembira, duka, sedih melalui penulisan berbanding dengan perkataan. Blog ini adalah pengalaman sendiri dan juga keluarga , khas untuk suami tersayang dan anak-anak, Bonda, adik beradik, anak-anak saudara dan semua sanak saudara.

Saturday 12 November 2011

Sekolah Sukan Malaysia





Di Malaysia ada 2 buah sekolah sukan sahaja buat masa ini iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil di Bukit Jalil dan juga Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor Bahru. Tetapi Malaysia sekarang telah melangkah setapak lagi dengan membuka Sekolah Sukan di Pahang, namanya masih tidak diketahui lagi. Dengar khabarnya sekolah ini akan dibuka pada tahun hadapan iaitu 2012.

 
 Macam mana aku tahu ini semua, selepas anak aku Muhammad Rusydin atau lebih dikenali sebagai Odin balik daripada pemilihan bakat saringan kedua baru-baru ini. Anak-anak aku sebenarnya telah dianugerahkan oleh Allah minat dalam sukan yang mendalam. Kehendak Allah juga aku dan suami memang mempunyai minat terhadap sukan yang mendalam. Aku teringat zaman sekolahku, yang aku tidak pernah mempunyai kulit yang putih licin sebab selalu berjemur bersukan. Sampaikan mak panggil aku "Dayang Senandung" , jadi sudah boleh bayangkan kulit aku ketika itu. Mak kata kalau macam inilah nanti aku tidak akan laku tidak ada orang hendak sebab tidak pernah kisah tentang penampilan diri. Pada aku ketika itu ialah kepuasan bersukan olahraga dan juga bola jaring. Tapi tahu atau tidak bila kita bersukan saham kita sebenarnya naik.....dan ini yang dirasai oleh anak-anak aku ketika ini.


Rezeki Odin dalam bidang sukan nampak semakin jelas. Seolah-olah penyambung kepada cita-cita aku semasa sekolah yang tidak berkesampaian. Menjadi remaja perempuan dan lelaki adalah dua perbezaan yang amat ketara. Batasan menjadi remaja perempuan tidak sama dengan lelaki. Di dalam meniti usia remaja, banyak batasan yang dibuat oleh mak pada aku, hingga menyebabkan aku tidak selesa untuk berseluar dan berskirt pendek lagi di tengah padang. Minat dan cita-cita mati setakat itu sahaja, lebih-lebih lagi masa dahulu mak tidak berkemapuan memenuhi permintaan keperluan bersukan seperti kasut, pakaian dan kelengkapan lain. Alhamdulillah rezeki Allah bagi belum pernah putus, kami teruskan cita-cita yang tidak kesampaian itu dengan menyokong setiap minat anak terhadap sukan. Semua kelengkapan sukan yang diperlukan aku dan suami cuba untuk menyediakannya. Alhamdulillah dengan dorongan mental, fizikal dan metarial kepada anak-anak telah menjadikan mereka semakin bersemangat bersukan dan memperbaiki setiap kelemahan dengan latihan yang tidak pernah kenal jemu.

Odin pada tahun ini berjaya mewakili negeri dalam acara olahraga. Aku pasti jika dia tidak terpilih untuk tahun ini, bukan dia sahaja yang kecewa malah aku dan suami juga kecewa. Selama 2 bulan tidak kesekolah untuk latihan Zon Cheras dan juga Daerah Hulu Langat, hasilnya dia terpilih mewakili Selangor. Akibatnya Odin tidak bersekolah hampir 3 bulan walaupun akan menghadapi peperiksaan UPSR ketika itu. Pengorbanan aku mengambil cuti untuk ikut serta Odin ke Kuala Selangor untuk Sukan Negeri (MSSN)tanpa suami yang sibuk bekerja dan juga ke Ipoh untuk Sukan Negara (MSSM) bersama-sama suami. Bakatnya telah dikenal pasti dan menyebab dia terpilih untuk menghadiri ujian mengenal bakat Kementerian Pelajaran untuk ke Sekolah Sukan Malaysia.



Kalau bukan kerana Odin aku rasa aku tidak ada pengalaman tentang kemasukkan ke sekolah Sukan iaitu Sekolah yang aku idam-idamkan (masa dulu sekolah ini belum wujud lagi). Kini kita hanya tunggu samada Odin berjaya atau tidak ke sekolah tersebut.








Good Luck untuk Odin, semuga berjaya dengan apa yang dicita-citakan selagi tidak melanggar hukum dan syarak.

~Dora~
11.11.11

Hari Raya Qurban @ Kg Skudai Kiri, Johor Bahru

Aku mengambil kesempatan pada Hari Raya Qurban ini untuk bersama-sama mak di Johor Bahru. Ini memang tiada dalam rancangan asal. Suami yang pada saat-saat akhir mengambil keputusan tidak pulang ke kampung halaman pada hari raya qurban ini, memberi laluan kepada rancangan B aku iaitu pergi ke JB untuk bersama mak dan mak-mak saudara aku di sana menjayakan majlis korban seekor lembu mereka.

Mak dan adik beradiknya telah sepakat untuk menumbangkan seekor lembu yang terdiri dari mak, mak long, auntie Jam, auntie Pozi, unlce Roslan, antie Sari dan uncle hisham. Dikesempatan ini mereka sepakat untuk membuat sekali majlis tahlil arwah untuk kedua ibu bapa mereka dan juga suami masing-masing yang mana telah pergi ke Ramahtullah.



Bukan itu sahaja, adik aku Julie juga tidak pulang berhari raya di Kedah kerana ibu mertuanya pergi menunaikan ibadah haji tahun ini. Sekali lagi pengalaman pergi haji menerjah dikepala aku ini. Keseronokkan orang membuat ibadah haji tidak terhingga dan tidak terucap. Pergi lah kepada yang belum menunaikannya untuk merasai apa yang dirasai oleh Haji dan Hajjah yang lain. Dengar sahaja ada orang hendak mengerjakan haji hati ini sudah sampai kesana dulu. Rindu lihat kaabah, rindu hendak masuk dan bau di Raudah. Kerinduan yang tidak terhingga.


Rancangan B berjalan dengan lancar, walaupun anak-anak sedikit tidak berpuas hati dengan rancangan itu. Disebabkan anak-anak masih dibawah umur bermakna mereka mesti patuh dan mengikuti ibu bapa mereka lebih-lebih lagi pada hari raya. Pada aku mudah sahaja, selagi anak-anak dibawah tanggungjawab kami, anak-anak kena ikut kemana sahaja kami pergi tidak dibenarkan sama sekali membuat keputusan sendiri. Aku akui, dengan sikap anak-anak remaja sekarang ada kalanya aku berasa hati, tersentuh sekali perasaan keibuan aku dengan sikap mereka. Tapi aku kena kuat dan menegaskan hak mereka sebagai seorang anak ada batasnya. Walaupun aku tahu anak-anak akan merasa tidak puas hati malah mungkin ada perasaan benci diketika itu. Allah Maha mengetahui, sesungguhnya aku mengikuti amanah Allah. Biarlah mereka tidak suka atau memberontak sebab suatu hari nanti mereka akan dapat menilai apa yang aku buat selama ini hanyalah untuk kebaikan mereka.

Kami bertolak dari rumah pada jam 12.30 tengahari hari raya dan sampai ke Kg Skudai Kiri pada jam 5.00 petang. Wah! banyak sungguh perubahan di JB, jalan semakin jauh untuk sampai ke Skudai (adakalanya kami selalu sesat). Tapi dengan signboard baru alhamdulillah kami tidak sesat, cuma rasa sedikit lebih jauh dari biasa. Bila ditanya kepada sepupuku Ahmad Anwar dia mengiyakan. Ini bermakna betul sangkaan kami perjalanan hendak sampai kerumah atuk aku lebih jauh walaupun pada dasarnya kami sudah sampai cuma hendak berpatah balik mengambil satu pusingan yang jauh. Hebat sungguh Johor Bahru.

Kedatangan kami disambut oleh mak-mak saudaraku yang semenangnya menunggu kedatangan kami. Sebab sebelum kami meneruskan rancangan B, kami sudah bersaling tukar khidmat pesanan ringkas (sms). Seperti biasa kehebatan mak yang terkenal dengan pandai memasak nasi beriyani telah siap untuk dihidang. Alhamdulillah boleh kenal masakan mak kata suami dan anak-anak.

Orang yang paling akhir sampai adalah kakakku 'Ngah'. Dia lambat kerana suaminya telah dipertanggungjawabkan sebagai setiausaha Masjid Ramuan China Besar, Melaka menyelesaikan acara korban di tempat mereka. Ini yang paling seronok, sebab abang ipar aku ini menjadi bahan usikan suamiku dan juga adik iparku tidak ketinggalan juga pakcik aku uncle Roslan. Ini yang paling seronok dan mengembirakan usik mengusik adalah sebahagian dari keluarga kami jika berkumpul.

Mak meluahkan hajatnya untuk membuat Majlis Tahlil selepas maghrib, dan seperti biasa suamiku ditugaskan membawanya. Alhamdulillah, Allah lembutkan hati dia mengikuti aku ke JB kerana ini hajat sebenar mak-mak saudara aku. Allah gerakkan hati kami untuk turut menyumbangkan apa yang suami tahu untuk dikongsi bersama-sama.

Selepas majlis tahlil ada pula acara potong kek, sempena hari jadi sepupu-sepupuku Hafez dan Juhana pada tarikh yang hampir sama. Oh!, Allahuakbar, anakku Dina juga lahir pada tarikh yang hampir sama, aku pun mengambil kesempatan untuk menumpang anak aku mengambil gambar sambil memotong kek. Dina nampak segan sekali dan aku berjanji akan membuat majlis harijadinya bila kita balik Kuala Lumpur nanti dan kita akan ajak Mak Ngah, Mak su, Mak dan auntie Jam datang. Kalau Mak long berkesempatan kita akan ajak dia sekali. Baru nampak senyum riang diwajah Dina. Al-maklumlah, dia sudah menjangkau 9 tahun dan dia adalah anak perempuan aku seorang.

Selepas acara memotong kek, kami dihidangkan dengan sup tulang. Sudah macam orang zaman batu pula, kami dihidangkan dengan tulang-tulang sebesar lengan.. Bukan pinggan lagi yang menjadi alasnya, malahan dulang yang diberi. Sup ini hasil dari masakan auntie Sari beserta sambal kicap yang agak pedas ohh!!!! berasap semua orang. Kami makan, ketuk tulang, hirup sana hirup sini beramai-ramai. Seronok sungguh bila makan ramai-ramai. Sup satu periuk habis, tulang licin tidak berkesempatan dimakan oleh Jin, penangan dari kami.

Itulah untungnya orang berkoran di Malaysia, namun tidak di Mekah. Aku teringat sebelum pergi Wukuf, kami berniat untuk buat korban di Mekah. Satu bahagian berjumlah SR380 untuk tahun 2010, dan dengar-dengar tahun 2011 jumlahnya naik 200% kali ganda. Tapi tidak dapat kepastian kesahihannya adakah harga untuk jemaah Malaysia atau jemaah tempatan Wallahualam. Di Mekah, kami hanya serahkan wang korban kepada mutawif sahaja, apa bentuk korban , bagaimana rupanya kami tidak tahu. Kami sekeluarga cukuplah untuk bahagian 7 ekor unta. Wah! korban unta, tapi bagaimana rupa unta itu tidak kami tahu dan tidak tahu menahu selepas itu. Hebatnya berkorban di Mekah. Inilah korban yang sebenar, selepas korban serahkan kepada yang berkenaan untuk selesaikannya. Habis cerita korban.

Selesai makan, kami bergotong royong mengemas. Jika beramai-ramai kerja yang banyak jadi sedikit, Alhamdulillah sikap tolong menolong masih kuat dalam keluarga kami. Auntie Sari masih kuat melayan kami tetamunya. Mak, Auntie Jam, Auntie Pozi dan Mak Long sudah lama beristirehat, meluruskan pinggang kerana kepenatan mengerjakan seekor lembu siang tadi. Kami diberi bekas-bekas kecil untuk diisi lauk bagi keluarga aku, Ngah dan Julie yang hendak balik ke Melaka dan Kuala Lumpur. Rezeki jangan ditolak, alhamdulillah.

Aku, Ngah dan Julie masing-masing bergerak untuk balik pada malam itu juga pada jam 11.45 malam. Satu perjalanan yang penat untuk suamiku kerana membawa kereta melebihi 800km hari ini. Alhamdulillah, kami sampai rumah pada jam 4.00 pagi. Selepas berehat hampir 1 jam setengah di Pagoh.


~Dora~
7 Nov 2011

Monday 7 November 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha 2011


Suami di padang Arafah sewaktu hari Wukuf

Hari ini merupakan hari Wukuf di Arafah. Setahun sudah berlalu namun ingatan dan perasaan ini masih menebal di hati ini. Kenangan terindah ketika berwukuf.

"Ya Allah ya tuhanku, ampunkan segala dosa-dosa ku. Ampunkan aku sekiranya pernah melupakan Mu, ampunkan aku sekiranya aku pernah menduakan Mu. Ampunkan setiap perbuatan burukku. Ampunkan segala kelalaian dan kealpaan ku. Sesungguhnya tidak ternilai segala nikmat yang telah Kau beri kepadaku.Segala rezeki dan kasih sayang Mu yang tidak pernah padam. Sesungguhnya aku adalah insan yang hina dan lemah. Aku adalah insan yang sangat kerdil yang menumpang dibumi Mu Ya Allah. Sekiranya kau tidak mengampunkan aku, maka aku adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Aku juga termasuk dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Maka ampunkan lah aku Ya Rahman.Amin Ya Rabbal Almin".

Di padang Arafah

Kenangan waktu wukuf dimusim haji tahun lepas, tetap segar dalam ingatan. Di ketika ini aku masih lagi terasa bersama-sama jemaah haji bermunajat dan berdoa. Terasa kerdil dan hina kita disisi Allah. Ini adalah pengalaman berharga yang tidak dapat kugambarkan dengan perkataan. Hanya mereka yang pernah melalui saja yang dapat merasakannya.

Ya setahun aku tidak menulis, selama setahun aku berdiam diri bukan kerana lupa akan blog ini. Semangat masih kuat dan segar untuk meneruskan penulisan pengalaman hidup. Setahun yang lepas aku selamat menunaikan ibadah haji bersama-sama suami tersayang dan juga dua orang kakak iparku dimana salah seorangnya bersama suami dan seorang anaknya. Rancangan kami untuk menunaikan ibadah Haji berlaku dengan pantas. Aku sendiri masih tertanya-tanya betulkah aku dah bersedia untuk melakukannya dalam usia aku ini. Adakah haji aku nanti akan diterima allah? Betulkah tujuan aku ini untuk Allah dan Rasul? Atau ikutan sahaja.

Allah maha Bijaksana, mengaturkan setiap perjalan hidup manusia dengan sebaiknya. Inilah rezeki aku sebenarnya, nama kami sudah tertulis menjadi tetamu Allah. Aku bermohon kepada Allah semuga apa yang dikurniakan kepada ku mendapat keberkatan dan keredhaan Nya. Sesungguhnya Allah berkehendak atas apa saja yang dikehendakinya. Sebenarnya panggilan Haji sama dengan panggilan maut atau ajal. Sentiasa kita dengar orang berkata "oh! belum masanya nak pergi haji, muda lagi" hakikatnya, jika nama sudah tertulis dan kita sudah terpanggil tiada kuasa lain yang dapat menghalangnya. Adakah kita juga akan kata "oh! aku muda lagi belum bersedia untuk mati" . Mungkin tidak bukan sebab kita tahu ajal maut ditangan tuhan.

Takbir Raya sudah kedengaran, hari ini dalam sejarah aku tidak pulang ke kampung suami di Kota Bahru Kelantan. Alasannya, aku akan ke sana cuti sekolah nanti untuk meneman mak ke Machang menghantar adik bongsuku ke UiTM Machang (masuk semester baru). Aku berada dirumah di kala takbir bergema bersama suami dan anak-anak sambil melihat TV1 Labaikallah. Aku rasa agak pelik dan sunyi kerana jarang berhari raya tanpa ahli keluarga yang ramai. Kecuali tahun lepas di mana aku beraya di Mina. Namun kuasa Allah yang hebat telah mengatasi segala-galanya. Di ketika itu tiada pula aku rasa sunyi dan teringat menu apa, hendak pakai baju apa, apa rancangan hari raya semua itu tidak ada malah rasa sedih tidak berhari raya bersama anak-anak dan ahli keluarga lain juga tidak ada. Kami hanya bertakbir selepas selesai tahalul awal dan suamiku yang sudah botak licin (agak pelik tengok muka dia dalam keadaan itu), sambil mengira-gira batu dan memilih batu yang sesuai untuk lontaran pada 12 dan 13 Zulhijjah.

Berjalan kaki ke Jamrah utk melontar
 Bukan lagi fikir perihal menu, malah merancang untuk keluar dari khemah mencari batu yang paling sesuai untuk membuat lontaran (sebenarnya ada kategori batu juga diterima dan tidak untuk melontar). Peristiwa di Mina banyak mengajar aku sebenarnya. Cuaca yang panas tidak menghalang aku dan suami keluar mencari batu di sekitar khemah di Mina. Malahan kami juga mengikuti jemaah lain mencari di kawasan bukit disekitar Mina, agak jauh juga kerana kami perlukan batu sebanyak 84 biji batu untuk kami suami isteri dan 42 lagi untuk kakak iparku. Sebelum keluar dari khemah, aku memang berniat hendak membawa makanan berupa air kotak, biskut, buah-buahan untuk disedekahkan kepada anak-anak kecil yang meminta sedekah dikawasan Mina (sebenarnya disetiap kawasan di Mekah). Sambil suami mencari batu bersama jemaah lain aku mengintai disetiap khemah kecil yang didirikan dipinggir-pinggir bukit (ini adalah jemaah haji dari negara lain, tidak pasti samada datang secara haram atau sebagainya). Aku mengagih-agihkan makanan tersebut kepada anak-anak kecil yang merayau-rayau disekitar khemah (rasa dah macam penyamun tarbus mengagihkan barang rampasan dengan beg yang tersandang di belakang). Ajaib dengan kuasa Allah (sebenarnya disini memang jelas dapat disaksikan kuasa Allah yang Maha Esa) tiga orang hamba Allah sedang berehat sambil makan pagi sungguh santai dengan roti pratanya tanpa apa-apa kuah untuk dicicah (ini perkara biasa di Malaysia bukan). Aku dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala menyuakan sebungkus biskut kepada suami untuk diberi kepada mereka (kebetulannya suami hendak mencari batu berdekatan dengan mereka). Hendak dijadikan cerita, sedang suami mencari batu di bukit kecil dibelakang mereka, seorang daripada mereka mengamit aku, Subhanallah dia bagi aku 2 genggam batu kecil (aku anggarkan cukup lah untuk kami) hendak menitik airmata aku, sambil menunjukkan batu tersebut kepada suami yang kebetulan pandang kearah aku kerana aku menghampiri hamba Allah yang mengamit aku itu.

Di Muzdaliffah cari batu
Aku tersenyum keriagan, dan aku belajar bahawa setiap perbuatan yang ikhlas kerana Allah Ta'ala, Dia akan bagi ganjaran yang kita tidak pernah terfikir. Suami juga tersenyum kearah aku dan dia cepat-cepat turun dari bukit untuk mengucapkan terima kasih kepada hamba Allah tersebut walaupun aku sudah mendahului dia dengan ucapan itu. Aku sungguh terharu dan terkesan dengan peristiwa itu. Berlainan sungguh kita disini, apa saja yang kita lakukan kononnya ikhlas tapi sebenarnya kita menuntut balasan. Peristiwa ini mengajar kita sebaliknya. Ikhlas tidak boleh diukur dengan kata-kata, setiap pemberian dan perbuatan kerana Allah dan Allah yang akan mengukur keikhlasan kita. Nah! balasan serta merta kita dapat tanpa pernah terfikir dek akal ini.
Melontar pada 12 Zulhijjah
Ini lah Hari Raya Qurban yang sebenarnya. Namun hari ini aku rasa janggal dan sunyi tanpa mak dan adik-beradik yang lain. Sebab berada dirumah, lain la kalau berada di rumah mak mertua, aku hanya akan berhubung melalui telephone saja. Mak tidak ada di Rawang, dia berhari raya di Johor Bahru kerana dia sudah bersepakat dengan adik-beradiknya untuk korban seekor lembu dan dimasak untuk dimakan beramai-ramai bersama ahli keluarga yang lain.

Ini adalah 2 perasaan yang berbeza di 2 tempat yang berbeza. Kuasa Allah hilangkan segala kedukaan dan kekecewaan. Bagaimana nafsu mengatasi iman dan taqwa. Bila kita pulang semula, budaya dan ikutan menjadi kemestian kepada kita. Aku tidak mengatakan ianya berlaku kepada orang lain, tapi kepada diri aku sendiri. Aku selalu berdoa pada Allah untuk jadikan aku seorang yang istiqomah dan setiap perbuatan dan amalan. Sedang berusaha kearah itu, memang hebat dugaan ini. Istiqomah adalah susah kerana iman dan taqwa yang nipis. Tapi kenapa di Mekah mudah belaka? jawapan itu ada dalam dada ini, payah untuk dihuraikan hanya boleh ber'monolog' sendiri sahaja.

Suami dan abg iparnya
Banyak peristiwa di Mekah mengajar aku erti kehidupan, keikhlasan dan juga kejujuran. Ada peristiwa yang terkesan dihatiku sehingga kini. Sesungguhnya aku adalah manusia yang lemah lagi hina kerana masih ada sikap pentingkan diri sendiri, tidak jujur dan tidak pernah hendak berkongsi dengan pemberian atau pinjaman Allah. Semasa di Mina, suami ada belikan aku satu tasbih dari kayu kokka yang sesuai untuk wanita kerana bijinya kecil-kecil saja. Aku sungguh teruja dengan pemberian itu, setiap hari aku menggunakannya dan melupakan tasbih kira-kira yang aku beli di Malaysia sebelum berangkat. Hendak dijadikan cerita, satu hari selepas solat Asar di Masjidil Haram Mukarramah seorang jemaah haji dari India (jika diikutkan dari pakaian dan juga rona kulitnya) datang menghampiri aku dan bertanya samada aku ada tasbih atau tidak (dia menggunakan bahasa isyarat), disebabkan aku sudah hampir hendak meninggalkan masjid aku terus memegang tasbih kecil ku itu dan masukkan ke dalam beg sandang, sambil tangan mencari-cari tasbih kira-kira yang lama itu. Namun tasbih kira-kira itu tidak terjumpa di dalam beg, pantas mulut aku dan tangan mengatakan tidak ada walaupun dalam hati ada terpalit rasa bersalah sangat. Aku bermonolog lagi "ala orang nak balik ni macam mana dia nak pinjam pulak". Aku berlalu dengan perasaan bersalah kepada hamba Allah itu. Aku berjumpa suami ditempat yang biasa kami berjumpa selepas solat untuk pulang ke hotel. Aku menceritakan peristiwa itu kepada suami, dia agak kecewa dengan tindakan aku dan dia kata aku sepatutnya bagi saja tasbih itu dan aku boleh tunggu sebentar dan dia pasti akan pulangkan selepas digunakan. Aku juga boleh menghubungi dia jika aku terlambat keluar mudah kan. Aduh! semakin tebal perasaan bersalah dalam hati aku. Aku nekad dalam hati untuk cari semula hamba Allah itu untuk bagi tasbih ini. Ah! sia-sia nekad itu sebab manakan boleh berjumpa dengan berjuta-juta jemaah haji disana.

Aku hidup selama 3 hari dalam sesalan, dan selepas solat selalu aku akan duduk sebentar mana tahu ada hamba Allah lain yang hendak meminjam apa-apa dari aku. Aku selalu pulang dengan hampa. Kesan dari sikap aku yang tidak mahu berkongsi nikmat Allah, tasbih itu hilang genap 3 hari selepas kejadian itu. Nah! tunai aku dapat. Aku belajar mengawal nafsu, aku terkesan dengan peristiwa tidak berkongsi nikmat Allah dengan umat Islam yang lain. Aku sedih dengan peristiwa itu dan aku redho dengan ketentuan Allah. Sekurang-kurangnya Allah sudah kurangkan perasaan bersalah dalam diri aku. Suami yang bersimpati dengan aku, mengajak aku mencari tasbih seperti itu untuk dibeli. Dari satu kedai ke satu kedai masih tidak berjumpa, aku pasrah.

Suamiku yang baik hati dan amat memahami aku tidak berputus asa berjanji akan menggantikan tasbih itu nanti. Setelah berusaha mencari kedai di Mekah, kami teruskan pencarian di Madinah. Akhirnya kami bertemu dengan satu tasbih di ladang kurma (semasa lawatan ke ladang kurma). Walaupun bentuknya tidak sama kerana biji-biji tasbih itu agak besar sedikit tapi dari jenis kayu kokka yang sama aku bersetuju untuk membelinya bagi menggantikan tasbih yang hilang itu. Suami pun membuat tawar menawar dan aku dapat tasbih itu dengan harga SR25. Hati berbungga kerana dapat tasbih baru, namun tidak lama kerana setelah mengira-gira tasbih itu iannya tidak cukup satu biji. Nampak! kuasa Allah yang nyata. Aku gambarkan ini adalah aku, Allah sudah kurniakan kesempurnaan pada aku tapi aku masih pentingkan diri sendiri, masih ada sikap mazmumah dalam diri walaupun dalam hati yang orang lain tidak tahu. Nah! sekarang Allah bagi juga, atas usaha kami tapi kali ini tidak sesempurna yang awalnya. Sekali lagi aku redha dan terkesan. Jika inilah rezeki aku yang Allah redha, aku terima dan aku gunakannya sebaik mungkin.

Ini adalah sebahagian peristiwa yang berlaku semasa aku berada di Tanah Suci Mekah selama 45 hari. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang yang meninggalkan kesan pada diri aku dan suami. Aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha, semuga Allah terima qurban dan amalan kita . InsyaAllah.

~Dora~
5 Nov 2011



Dari kiri Hj Ismail (suami Hjh Muji), Hjh Muji (Kakak ipar), Hjh Rogayah (Kakak ipar), suami dan aku. Gambar ini diambil selepas selesai melontar pada 13 Zulhijjah. Lepas ni nak balik ke Mekah untuk selesaikan Tawaf dan Saie Haji.


Jemaah Haji semakin ramai diketika ini


Saturday 5 November 2011

Bertemu kembali dengan izin Allah

Setelah setahun baru dapat menulis kembali itu pun sebab dapat beli Galaxy Tab yang diidam idamkan. 28 Oct dengan rasminya dapat guna Galaxy Tab perhhh seronok bukan main. Hari ni semangat nak update blog begitu terasa sekali.

Setahun berlalu banyak peristiwa yang hendak dikongsi bersama. Pengalaman dalam penghijrahan dan juga perjuangan, perkahwinan, ahli keluarga baru, dugaan dalam kehidupan sakit, susah, senang, kecewa dan sebagainya.

Satu persatu cerita akan diungkai untuk tatapan, pengetahuan dan juga pengajaran untuk semua pembaca. Juga boleh dijadikan sejarah dalam keluarga.

Terima kasih
Dora

29 Oct 2011

Sunday 5 September 2010

~SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2010~

Ramadan Ya Ramadan, Minal Aidilwalfaizin Eid Mubarrak. Alhamdulillah kita masih diberi kekuatan dan kesihatan untuk menyambut Eid Mubarrak kali ini. Saban tahun cuti hari raya semakin bertambah yang perlu diambil. Kalau dulu masa bujang cuti hanya sehari dua, paling lama seminggu. Tapi sejak ada anak lima cuti menjadi semakin panjang iaitu 2 minggu. Adakah akan menjadi sebulan selepas ini....nanti bos kata "awak sign surat ni awak boleh terus cuti ( surat VSS) atau dia kata awak berhenti terus lah senang" baru haru. Jadi cuti tu berpada-pada lah. Ikut keadaan semasa.

Masa menulis blog ini, aku dah pun mula bercuti untuk menyambut Hari raya. Kali ini aku cuti 2 minggu, seminggu awal dari tarikh Hari raya sebab aku akan balik ke Kota Bahru untuk berpuasa dan menyambut Syawal di sana. Setelah 16 tahun ini adalah kali kedua aku berhari raya di Kota Bahru. Selalunya aku akan beraya bersama bonda di sini dan raya kedua baru bergerak ke KB. Tetapi tahun ini ada permintaan dari suamiku (J) yang teringin hendak berpuasa bersama bondanya. 


Kita hanya merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Bersempena dengan cuti persekolahan yang awal ini, aku pun mengambil kesempatan bercuti bagi memenuhi permintaan suami. Segala persediaan Raya dah siap disediakan. Dari sudut pakaian anak-anak, makanan dan sebagainya dah selesai (sebenarnya kalau tak selesai pun aku boleh sambung shopping disana..... )

Sebenarnya apa yang paling kita tidak suka semasa menyambut hari raya ialah kesesakan lalu lintas. Pada mereka yang pernah ke Pantai Timur, kesesakan lalu lintas adalah perkara biasa. Kesemua pengguna jalan raya sudah bersiap sedia dari sudut fizikal dan mental bila menjelang hari raya. Perjalanan yang memakan masa hanya 7 jam boleh  menjadi 14 jam atau paling lama 20 jam. Jadi kepada sesiapa yang tidak kuat fizikal dan mental janganlah cuba-cuba hendak 'usha' orang Kelate....


Atau alternative lain boleh guna kederaan awam, seperti bas,kapal terbang atau keretapi. Tetapi dalam banyak-banyak kenderaan awam yang paling selesa adalah keretapi. Kami pernah beberapa kali balik KB dengan keretapi. Walaupun mengambil masa sehingga 12 jam, kita masih bertenaga dan segar sepanjang perjalanan. Mana tidaknya, makan tidur saja.

Hanya beberapa hari lagi saja kita akan meninggalkan Ramadan Al Mubarrak. Sedih juga rasanya bila tiada lagi solat Terawikh, waktu berbuka puasa dan bersahur. Terasa waktu terlalu cepat berlalu dan kita akan kehilangan Ramadan untuk tahun ini. Semuga Allah panjangkan umur kita semua untuk berjumpa Ramadan tahun depan.

Al-Fatiha untuk kesemua sanak saudara yang telah meninggalkan kita semuga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Ku panjatkan doa untuk terutama Arwah Ayahandaku yang tersayang Abd Rahim Bin Atan, datuk dan nenekku Hassan Yusof dan Habibah Khalid, Mak saudaraku Mak Long, Bapa saudaraku Abdul Talib bin Hassan,Johar bin Tompok,Pak Long Samad, sepupu-sepupuku Akak Ina, Saleh dan Azman Samad, Mohd Shakif Hassan. Semuga Allah ampunkan segala dosa-dosa mereka dan permudahkan segala urusan kubur mereka.Amin.

Tahun ini theme colour untuk Hari raya ialah biru. Semuga warga keluarga silalah berbaju biru. Semuga kita semua mendapat keberkatan pada Hari raya ini.
Aku dah keluargaku mengambil kesempatan untuk mengucapkan ~Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf Zahir dan Batin~




Wassalam
Dora

Wednesday 25 August 2010

Selamat Berpuasa Keluarga Ku

Assalamualaikum.
Hari ini masa aku menulis ni kita semua dah 16 hari puasa. Kami di Perkasa Indah masih mempertahankan rekod tidak pernah terlepas sahur. Yang selalu tak sahur anak sulung dah la jalan pakai tongkat tidur selalu nak lebih. Kami yang dah tua ni tak terlepas la, kalau terlepas susah... rokok tak dapat...haru puasa satu hari. Di Johor, Melaka, Selangor, Pahang dan Kelantan macam mano? Ada yang pernah terlepas??? Lepek la . Namun dalam bulan puasa ini labanyak kenangan dan peristiwa berlaku yang sering dikenangkan. Ada suka ada duka. Sekarang ni dah lebih 15 hari puasa, jadi kat surau dan masjid jemaah akan baca doa qunut masa solat witir rakaat terakhir. Saya harap keluarga semua istiqomah dalam menunaikan solat terawikh dan terlebih besar harapan agar semua keluarga solat terawikh 20 rakaat supaya semua orang dapat pahala,barokah solat sunat terawikh yang hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja. Kalu kita solat 8 rakaat sahaja, kita hanya akan dapat pahala solat sunat saja la.

              Namun  yang sangat mengembirakan hati adalah masa berbuka puasa. Masa ni "mata lagi besar dari perut" budak-budak nampak semua nak makan. Jadi kepada keluarga semua hati-hati dengan muslihat mata...jangan sampai tong sampah kat tepi dapur tu melimpah ngan kueh mueh yang nampak sedaaaap sangat sebelum buka puasa. Tapi ingat... kalau juadah bebuka yang macam kat bawah ni pasti tak buang punya....
Ini betul-betul juadah tradisional!!!

Di Perkasa Indah ni ramai yang keturunan belah pantai timor...puak-puak ni memang suka makan makanan manis. Apa jua sekali pun juadah yang diimpikan, yang terbaik tetap kurma dan air putih. Nabi s.a.w buka  puasa dengan kurma jadi mari lah kita sama-sama hidupkan sunnah ini.

Wassallam.

Next posting: cerita malam Raya dan cerita Hari Raya Aidil Fitri.....

Sunday 11 July 2010

PERCUTIAN KE TAMAN NEGARA 7~9 JUNE 2010

Aku merancang percutian ini dari last year lagi. Alhamdulillah, akhirnya percutian ini menjadi kenyataan. Bersempena pulak dengan cuti sekolah pertengahan tahun rancangan ke Taman Negara menjadi kenyataan. Aku ambil package Rainforest Resort, kebetulannya member aku kerja marketing di sana. Boleh dikatakan percutiaan ini adalah percutian budget sebab aku memang minta harga pecah kepala dengan member itu.

7 June 2010 - Perjalanan bermula jam 9.00 pagi, persinggahan pertama tempat Auntie Jam meniaga. Aku memang dah order nasi lemak dengan Auntie Jam 8 bungkus dan juga sambal campur (ikan bilis, kerang dan sotong) asingkan bagi menambahkan jangka hayat dia. Tetapi yang paling best aku dapat extra lauk ayam  sambal, sandwich dan kuih. Alhamdulillah, semuga Allah murahkan rezeki Auntie Jam sebab bayaran yang dia terima terlalu sedikit pada aku. Ini dia mak saudara aku yang aku harapkan dapat membantu selepas mak tinggal jauh.(kalau tidak mak yang selalu jadi mangsanya he he)

Tempat persinggahan kedua - perhentian pertama lebuhraya pantai timur (aku pun lupa apa nama tempat persinggahan itu) untuk makan bekalan tadi. Sebenarnya yang belum makan driver dan aku, yang lain dah makan dalam kereta lagi. Selesai semua buat apa yang patut, buang hajat, berehat, makan, merokok dan sebagainya perjalanan diteruskan. Tujuan selepas ini adalah exit 891.

Exit 819 - perjalanan mengambil masa dalam 3 jam lagi untuk sampai ke Taman Negara. Sebelum masuk ke dalam hutan, aku singgah kedai beli macam-macam makanan memandangkan dinner yang di provide hanya pada jam 7.30 malam. Aku beli mee maggie (macam biasa kalau jalan jauh ini lah makanan yang paling sesuai) biskut, nescafe segera (kalau tiada ni driver aku akan hilang mood so ini penting).

Masuk kesimpang Taman Negara masih ada 62 km untuk sampai ke Taman Negara. Anak-anak sudah mula membebel sebab tidak sampai-sampai. Akhirnya tepat jam 2.00 petang kami sampai ke Rainforest Resort Alhamdulillah. Kami check-in tepat pada waktunya aku, Jay, Dina dan Ajik bilik 310 , Odie, Odan dan Odan bilik 311. Setiap bilik ada satu katil single dan satu katil double, tv dengan astro, kettle (ini kena mintak),coffee table, balconi dengan 2 kerusi kayu untuk bersantai diluar bilik (banyak lagi kegunaannya...tunggu).
Package kami pada hari itu dapat makan malam sahaja, jadi kami semua kena tunggu sehingga jam 7.30 malam untuk makan. Sementara menunggu apa lagi anak-anak aku rembat mee maggie, buat air panas dan cicah dengan biskut. Hmmm sedap juga sebab sudah lapar, bolehlah buat alas perut. Mak bapak dia apa lagi membutalah untuk habiskan masa, nama pun bercuti, so releks sakan lah.

Tepat jam 7.35 malam, kami pergi makan. Alhamdulillah tak rugi bawa anak-anak lelaki aku sebab macam biasa makan sepuasnya. Tapi masalah mereka makan satu makanan dengan kuantiti yang banyak jadi mereka tidak dapat rasa banyak makanan. Macam aku dan Jay pulak, makan dengan kuantiti yang sikit dan dapat rasa macam-macam benda sebab dah biasa makan buffet. Kami makan dalam keadaan releks sebab pada asalnya kami punya jadual free sampai esok. Dalam package ini termasuk sekali dengan Jungle Tracking, canopy walk, rapid shooting and Lata Berkoh. So, apa-apa tambahan aktiviti kami kena bayar lain. Pada mulanya untuk menjimatkan duit sebab percutiaan kami ini dijangkakan melalui perjalanan yang jauh dan juga persinggahan yang banyak.

Tapi bila difikir-fikirkan, apakah kami akan menghabiskan masa duduk didalam bilik sahaja dan menonton Astro lebih baik duduk dirumah dapat tengok Astro B.yond. So, alang-alang sudah sampai Jay buat keputusan untuk kami semua joint Jungle Night Tracking. Disebabkan kami membuat keputusan agak lambat, Jungle Night Tracking kami yang sepatutnya dijadualkan jam 8.30 malam jadi 9.00 malam sebab kami kena tukar pakaian yang sesuai (pakaian jungle tracking dengan kasut, seluar panjang dan baju lengan panjang sebab takut nyamuk) dan juga beli torch light.

9.00 malam bermula night jungle tracking dibawa oleh Tour Guide Sabri. Kami naik boat untuk seberang sungai (dalam kurang 5 minit dekat saja). Sebelum bermula apa-apa aktiviti dalam Taman Negara, semua pelancong dikenakan bayaran permit masuk dan juga permit kamera. Satu kepala RM1 dan satu kamera RM5. Hanya sekali sahaja bayar dan permit itu mesti dibawa kemana-mana sahaja. Package kami ini termasuk dengan permit sekali jadi kami tidak perlu membayar apa-apa termasuk tambang boat dari jeti ke rumah org asli, lata berkoh dan ke sebarang dan juga van dari resort ke jeti.

Memang seronok walaupun agak takut pada permulaan perjalanan. Maklumlah masuk hutan pada malam hari yang gelap gelita bertemankan cahaya torch light sahaja. Banyak serangga dan binatang dapat ditemui. Sekumpulan rusa yang sedang berehat dan makan. Tapi yang paling best nak tengok rusa ni kita kena naik satu menara tinggi yang gelap gelita. Tapi dengan cahaya lampun suluh sahaja kita tetap boleh nampak kumpulan rusa ini. Ular, anak ular semua ada wah seronok kan. Dalam perjalanan turun ke jeti kami melalui kawasan resort (ini resort yang mahal lah, tapi resort ini memang cantik) kami terserempak dengan babi hutan dan yang pasti statement yang tidak boleh dilupakan dari Ajik " eh!!! rumah mak su pun macam taman negara ada babi hutan" hehehe itu Ajik yang cakap.

Day 2: Kami sarapan pagi pada jam 7.30 pagi. Jam 8.30 bergerak ke jeti untuk berjumpa dengan tour guide bagi permulaan activiti jungle tracking. Jungle tracking ini memerlukan stamina yang kuat, kerana banyak bukit yang kena daki dan berjalan didalam hutan (rasa macam kedalam sangat kita masuk ke hutan) bukit yang curam dan hanya dibantu oleh tali ditepi-tepi bukit. Masa itu baru aku sedar yang umur aku sudah mengijak tidak begitu muda. Ajik pulak penat berjalan nak berdukung pulak, terpaksalah ayah dia dan odie amik giliran memikul Ajik. Naik bukit turun bukit sehinggalah sampai ke Canopy Walk. Canopy walk itu adalah jambatan gantung sebenarnya. Jambatan yang tinggi dan ada banyak stesyen persinggahan. Tingginya mencecah hujung pokok, kalau sesiapa yang gayat dengan ketinggian mahu mengigil kepala lutut. Aku adalah salah seorang yang gayat dengan ketinggian, mengigil kapal lutut, rasa macam nak patah balik saja. Turun tangga atas jambatan gantung, cuba bayangkan. Memang menakutkan tapi dalam masa yang sama satu pengalaman yang menyeronokkan.

Keluar dari Canopy Walk, kami semua naik bot untuk pergi Rapid Shooting di rumah orang asli. Naik boat ini adalah part yang paling seronok, kami basah seluruh badan macam mandi air sungai walaupun menaiki bot. Naik bot dalam masa 30 minit rasa macam sekejap saja sebab ianya amat menyeronokkan. Sampai ditempat orang asli, kami ditunjukkan cara-cara menyalakan api dan juga membuat sumpit. Kami semua belajar menyumpit, dan orang yang handal menyumpit ialah Odie dan diakui oleh tour guide. Selepas itu kami menaiki bot semula untuk balik ke jeti dan seterusnya ke resort. Kami balik dalam keletihan yang amat sangat walaupun basah kuyup. Balik , mandi dan tukar pakaian terus makan tengahari. Aku dapat juga lelapkan mata untuk seketika sebab ada lagi aktiviti jam 2.30 petang ke Latah Berkoh tempat air terjun.

2.30 petang ke jeti semula dan naik bot 40 minit. Kali ini kami diasingkan. Odie, Odan, Odin dan Dina naik satu bot. Aku, Jay dan Ajik satu bot lagi. Alasan sungai yang akan dilalui ini cetek dan dan arus yang deras, so muatan bot tidak boleh terlalu berat. Memang agak takut sedikit sebab bot jalan berliku-liku dan ada kalanya terkena batu. Sampai di satu pelabuhan, kami mendaki lagi, masuk kedalam hutan lagi untuk sampai ke Lata Berkoh. Lata Berkoh adalah tempat mandi-manda, ada air terjun yang cantik. Tapi malangnya, pada masa kami sampai ke situ, hari baru lepas hujan. Jadi air sungai amat keruh dan deras. Tour guide tidak mengalakkan kami mandi kerana bimbang akan keselamatan kami. Setiba di Lata Berkoh, memang ternyata air deras dan keruh. Tetapi ramai 'mat saleh' yang mandi. (dia org ni berani tahap dewa) bawa anak-anak mandi sekali. Kami berada di situ dalam 20 minit. Anak-anak agak kecewa juga kerana tidak dapat mandi air terjun, tapi keselamatan yang paling utama. Kami pulang ke jeti dan terus ke resort pada jam 5.30 petang. Hari yang begitu memenatkan kerana semua tertidur kepenatan petang itu. Jam 7.30 semua bersedia untuk dinner dan tidur semula.

Day 3: Adalah hari pengabisan di Taman Negara. Kami breakfast jam 7.30 pagi dan terus berkemas untuk gerak ke Kota Bahru (balik kampung). Kami check-out jam 10 pagi. Kami tinggalkan Taman Negara dengan seribu kenangan dan keseronokkan.

Kepada mereka yang inginkan percutian yang adventure, penat dan hapenning, lain dari yang lain. Sekurang-kurangnya kita tidak memomokkan anak-anak dengan kolam renang seperti percutian biasa dan inilah tempatnya. Pasti akan terhibur dan menyeronokkan. CUBA LAH..

Wassalam
Dora