SELAMAT DATANG KE PEN-DORA

Hi saya Dora.
Minat dalam bidang penulisan dari kecil lagi dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa -Kewartawanan dari UiTM Shah Alam. Suka melahirkan perasaan gembira, duka, sedih melalui penulisan berbanding dengan perkataan. Blog ini adalah pengalaman sendiri dan juga keluarga , khas untuk suami tersayang dan anak-anak, Bonda, adik beradik, anak-anak saudara dan semua sanak saudara.

Monday 7 November 2011

Selamat Hari Raya Aidil Adha 2011


Suami di padang Arafah sewaktu hari Wukuf

Hari ini merupakan hari Wukuf di Arafah. Setahun sudah berlalu namun ingatan dan perasaan ini masih menebal di hati ini. Kenangan terindah ketika berwukuf.

"Ya Allah ya tuhanku, ampunkan segala dosa-dosa ku. Ampunkan aku sekiranya pernah melupakan Mu, ampunkan aku sekiranya aku pernah menduakan Mu. Ampunkan setiap perbuatan burukku. Ampunkan segala kelalaian dan kealpaan ku. Sesungguhnya tidak ternilai segala nikmat yang telah Kau beri kepadaku.Segala rezeki dan kasih sayang Mu yang tidak pernah padam. Sesungguhnya aku adalah insan yang hina dan lemah. Aku adalah insan yang sangat kerdil yang menumpang dibumi Mu Ya Allah. Sekiranya kau tidak mengampunkan aku, maka aku adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Aku juga termasuk dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Maka ampunkan lah aku Ya Rahman.Amin Ya Rabbal Almin".

Di padang Arafah

Kenangan waktu wukuf dimusim haji tahun lepas, tetap segar dalam ingatan. Di ketika ini aku masih lagi terasa bersama-sama jemaah haji bermunajat dan berdoa. Terasa kerdil dan hina kita disisi Allah. Ini adalah pengalaman berharga yang tidak dapat kugambarkan dengan perkataan. Hanya mereka yang pernah melalui saja yang dapat merasakannya.

Ya setahun aku tidak menulis, selama setahun aku berdiam diri bukan kerana lupa akan blog ini. Semangat masih kuat dan segar untuk meneruskan penulisan pengalaman hidup. Setahun yang lepas aku selamat menunaikan ibadah haji bersama-sama suami tersayang dan juga dua orang kakak iparku dimana salah seorangnya bersama suami dan seorang anaknya. Rancangan kami untuk menunaikan ibadah Haji berlaku dengan pantas. Aku sendiri masih tertanya-tanya betulkah aku dah bersedia untuk melakukannya dalam usia aku ini. Adakah haji aku nanti akan diterima allah? Betulkah tujuan aku ini untuk Allah dan Rasul? Atau ikutan sahaja.

Allah maha Bijaksana, mengaturkan setiap perjalan hidup manusia dengan sebaiknya. Inilah rezeki aku sebenarnya, nama kami sudah tertulis menjadi tetamu Allah. Aku bermohon kepada Allah semuga apa yang dikurniakan kepada ku mendapat keberkatan dan keredhaan Nya. Sesungguhnya Allah berkehendak atas apa saja yang dikehendakinya. Sebenarnya panggilan Haji sama dengan panggilan maut atau ajal. Sentiasa kita dengar orang berkata "oh! belum masanya nak pergi haji, muda lagi" hakikatnya, jika nama sudah tertulis dan kita sudah terpanggil tiada kuasa lain yang dapat menghalangnya. Adakah kita juga akan kata "oh! aku muda lagi belum bersedia untuk mati" . Mungkin tidak bukan sebab kita tahu ajal maut ditangan tuhan.

Takbir Raya sudah kedengaran, hari ini dalam sejarah aku tidak pulang ke kampung suami di Kota Bahru Kelantan. Alasannya, aku akan ke sana cuti sekolah nanti untuk meneman mak ke Machang menghantar adik bongsuku ke UiTM Machang (masuk semester baru). Aku berada dirumah di kala takbir bergema bersama suami dan anak-anak sambil melihat TV1 Labaikallah. Aku rasa agak pelik dan sunyi kerana jarang berhari raya tanpa ahli keluarga yang ramai. Kecuali tahun lepas di mana aku beraya di Mina. Namun kuasa Allah yang hebat telah mengatasi segala-galanya. Di ketika itu tiada pula aku rasa sunyi dan teringat menu apa, hendak pakai baju apa, apa rancangan hari raya semua itu tidak ada malah rasa sedih tidak berhari raya bersama anak-anak dan ahli keluarga lain juga tidak ada. Kami hanya bertakbir selepas selesai tahalul awal dan suamiku yang sudah botak licin (agak pelik tengok muka dia dalam keadaan itu), sambil mengira-gira batu dan memilih batu yang sesuai untuk lontaran pada 12 dan 13 Zulhijjah.

Berjalan kaki ke Jamrah utk melontar
 Bukan lagi fikir perihal menu, malah merancang untuk keluar dari khemah mencari batu yang paling sesuai untuk membuat lontaran (sebenarnya ada kategori batu juga diterima dan tidak untuk melontar). Peristiwa di Mina banyak mengajar aku sebenarnya. Cuaca yang panas tidak menghalang aku dan suami keluar mencari batu di sekitar khemah di Mina. Malahan kami juga mengikuti jemaah lain mencari di kawasan bukit disekitar Mina, agak jauh juga kerana kami perlukan batu sebanyak 84 biji batu untuk kami suami isteri dan 42 lagi untuk kakak iparku. Sebelum keluar dari khemah, aku memang berniat hendak membawa makanan berupa air kotak, biskut, buah-buahan untuk disedekahkan kepada anak-anak kecil yang meminta sedekah dikawasan Mina (sebenarnya disetiap kawasan di Mekah). Sambil suami mencari batu bersama jemaah lain aku mengintai disetiap khemah kecil yang didirikan dipinggir-pinggir bukit (ini adalah jemaah haji dari negara lain, tidak pasti samada datang secara haram atau sebagainya). Aku mengagih-agihkan makanan tersebut kepada anak-anak kecil yang merayau-rayau disekitar khemah (rasa dah macam penyamun tarbus mengagihkan barang rampasan dengan beg yang tersandang di belakang). Ajaib dengan kuasa Allah (sebenarnya disini memang jelas dapat disaksikan kuasa Allah yang Maha Esa) tiga orang hamba Allah sedang berehat sambil makan pagi sungguh santai dengan roti pratanya tanpa apa-apa kuah untuk dicicah (ini perkara biasa di Malaysia bukan). Aku dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala menyuakan sebungkus biskut kepada suami untuk diberi kepada mereka (kebetulannya suami hendak mencari batu berdekatan dengan mereka). Hendak dijadikan cerita, sedang suami mencari batu di bukit kecil dibelakang mereka, seorang daripada mereka mengamit aku, Subhanallah dia bagi aku 2 genggam batu kecil (aku anggarkan cukup lah untuk kami) hendak menitik airmata aku, sambil menunjukkan batu tersebut kepada suami yang kebetulan pandang kearah aku kerana aku menghampiri hamba Allah yang mengamit aku itu.

Di Muzdaliffah cari batu
Aku tersenyum keriagan, dan aku belajar bahawa setiap perbuatan yang ikhlas kerana Allah Ta'ala, Dia akan bagi ganjaran yang kita tidak pernah terfikir. Suami juga tersenyum kearah aku dan dia cepat-cepat turun dari bukit untuk mengucapkan terima kasih kepada hamba Allah tersebut walaupun aku sudah mendahului dia dengan ucapan itu. Aku sungguh terharu dan terkesan dengan peristiwa itu. Berlainan sungguh kita disini, apa saja yang kita lakukan kononnya ikhlas tapi sebenarnya kita menuntut balasan. Peristiwa ini mengajar kita sebaliknya. Ikhlas tidak boleh diukur dengan kata-kata, setiap pemberian dan perbuatan kerana Allah dan Allah yang akan mengukur keikhlasan kita. Nah! balasan serta merta kita dapat tanpa pernah terfikir dek akal ini.
Melontar pada 12 Zulhijjah
Ini lah Hari Raya Qurban yang sebenarnya. Namun hari ini aku rasa janggal dan sunyi tanpa mak dan adik-beradik yang lain. Sebab berada dirumah, lain la kalau berada di rumah mak mertua, aku hanya akan berhubung melalui telephone saja. Mak tidak ada di Rawang, dia berhari raya di Johor Bahru kerana dia sudah bersepakat dengan adik-beradiknya untuk korban seekor lembu dan dimasak untuk dimakan beramai-ramai bersama ahli keluarga yang lain.

Ini adalah 2 perasaan yang berbeza di 2 tempat yang berbeza. Kuasa Allah hilangkan segala kedukaan dan kekecewaan. Bagaimana nafsu mengatasi iman dan taqwa. Bila kita pulang semula, budaya dan ikutan menjadi kemestian kepada kita. Aku tidak mengatakan ianya berlaku kepada orang lain, tapi kepada diri aku sendiri. Aku selalu berdoa pada Allah untuk jadikan aku seorang yang istiqomah dan setiap perbuatan dan amalan. Sedang berusaha kearah itu, memang hebat dugaan ini. Istiqomah adalah susah kerana iman dan taqwa yang nipis. Tapi kenapa di Mekah mudah belaka? jawapan itu ada dalam dada ini, payah untuk dihuraikan hanya boleh ber'monolog' sendiri sahaja.

Suami dan abg iparnya
Banyak peristiwa di Mekah mengajar aku erti kehidupan, keikhlasan dan juga kejujuran. Ada peristiwa yang terkesan dihatiku sehingga kini. Sesungguhnya aku adalah manusia yang lemah lagi hina kerana masih ada sikap pentingkan diri sendiri, tidak jujur dan tidak pernah hendak berkongsi dengan pemberian atau pinjaman Allah. Semasa di Mina, suami ada belikan aku satu tasbih dari kayu kokka yang sesuai untuk wanita kerana bijinya kecil-kecil saja. Aku sungguh teruja dengan pemberian itu, setiap hari aku menggunakannya dan melupakan tasbih kira-kira yang aku beli di Malaysia sebelum berangkat. Hendak dijadikan cerita, satu hari selepas solat Asar di Masjidil Haram Mukarramah seorang jemaah haji dari India (jika diikutkan dari pakaian dan juga rona kulitnya) datang menghampiri aku dan bertanya samada aku ada tasbih atau tidak (dia menggunakan bahasa isyarat), disebabkan aku sudah hampir hendak meninggalkan masjid aku terus memegang tasbih kecil ku itu dan masukkan ke dalam beg sandang, sambil tangan mencari-cari tasbih kira-kira yang lama itu. Namun tasbih kira-kira itu tidak terjumpa di dalam beg, pantas mulut aku dan tangan mengatakan tidak ada walaupun dalam hati ada terpalit rasa bersalah sangat. Aku bermonolog lagi "ala orang nak balik ni macam mana dia nak pinjam pulak". Aku berlalu dengan perasaan bersalah kepada hamba Allah itu. Aku berjumpa suami ditempat yang biasa kami berjumpa selepas solat untuk pulang ke hotel. Aku menceritakan peristiwa itu kepada suami, dia agak kecewa dengan tindakan aku dan dia kata aku sepatutnya bagi saja tasbih itu dan aku boleh tunggu sebentar dan dia pasti akan pulangkan selepas digunakan. Aku juga boleh menghubungi dia jika aku terlambat keluar mudah kan. Aduh! semakin tebal perasaan bersalah dalam hati aku. Aku nekad dalam hati untuk cari semula hamba Allah itu untuk bagi tasbih ini. Ah! sia-sia nekad itu sebab manakan boleh berjumpa dengan berjuta-juta jemaah haji disana.

Aku hidup selama 3 hari dalam sesalan, dan selepas solat selalu aku akan duduk sebentar mana tahu ada hamba Allah lain yang hendak meminjam apa-apa dari aku. Aku selalu pulang dengan hampa. Kesan dari sikap aku yang tidak mahu berkongsi nikmat Allah, tasbih itu hilang genap 3 hari selepas kejadian itu. Nah! tunai aku dapat. Aku belajar mengawal nafsu, aku terkesan dengan peristiwa tidak berkongsi nikmat Allah dengan umat Islam yang lain. Aku sedih dengan peristiwa itu dan aku redho dengan ketentuan Allah. Sekurang-kurangnya Allah sudah kurangkan perasaan bersalah dalam diri aku. Suami yang bersimpati dengan aku, mengajak aku mencari tasbih seperti itu untuk dibeli. Dari satu kedai ke satu kedai masih tidak berjumpa, aku pasrah.

Suamiku yang baik hati dan amat memahami aku tidak berputus asa berjanji akan menggantikan tasbih itu nanti. Setelah berusaha mencari kedai di Mekah, kami teruskan pencarian di Madinah. Akhirnya kami bertemu dengan satu tasbih di ladang kurma (semasa lawatan ke ladang kurma). Walaupun bentuknya tidak sama kerana biji-biji tasbih itu agak besar sedikit tapi dari jenis kayu kokka yang sama aku bersetuju untuk membelinya bagi menggantikan tasbih yang hilang itu. Suami pun membuat tawar menawar dan aku dapat tasbih itu dengan harga SR25. Hati berbungga kerana dapat tasbih baru, namun tidak lama kerana setelah mengira-gira tasbih itu iannya tidak cukup satu biji. Nampak! kuasa Allah yang nyata. Aku gambarkan ini adalah aku, Allah sudah kurniakan kesempurnaan pada aku tapi aku masih pentingkan diri sendiri, masih ada sikap mazmumah dalam diri walaupun dalam hati yang orang lain tidak tahu. Nah! sekarang Allah bagi juga, atas usaha kami tapi kali ini tidak sesempurna yang awalnya. Sekali lagi aku redha dan terkesan. Jika inilah rezeki aku yang Allah redha, aku terima dan aku gunakannya sebaik mungkin.

Ini adalah sebahagian peristiwa yang berlaku semasa aku berada di Tanah Suci Mekah selama 45 hari. Banyak lagi peristiwa-peristiwa yang yang meninggalkan kesan pada diri aku dan suami. Aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha, semuga Allah terima qurban dan amalan kita . InsyaAllah.

~Dora~
5 Nov 2011



Dari kiri Hj Ismail (suami Hjh Muji), Hjh Muji (Kakak ipar), Hjh Rogayah (Kakak ipar), suami dan aku. Gambar ini diambil selepas selesai melontar pada 13 Zulhijjah. Lepas ni nak balik ke Mekah untuk selesaikan Tawaf dan Saie Haji.


Jemaah Haji semakin ramai diketika ini


No comments:

Post a Comment